Langkah-Langkah Yang Harus Dilakukan Oleh Pelbagai Pihak Untuk Memajukan Industri Kecil dan Sederhana

Dalam usaha mempelbagaikan keluaran industri negara, kerajaan begitu prihatin untuk terus memperkembang Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Selaku ahli jawatankuasa kampung, anda telah mengundang seorang pegawai daripada Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana untuk memberikan ceramah tentang langkah-langkah yang harus dilakukan oleh pelbagai pihak untuk memajukan Industri Kecil dan Sederhana.

………………………………………………………………………..

Biasanya ceramah didahului oleh kata-kata sambutan menurut protokol. Contohnya seperti Tuan Pengerusi majlis yang saya muliakan, Ketua kampung, AJK kampung dan semua yang hadir pada hari ini.

Ada pula penceramah yang cenderung memberikan mukadimah terhadap satu-satu tajuk yang hendak diceramahkan seperti karangan model ini.

Sesudah itu barulah penceramah berkenaan memberikan kata-kata sambutan dan memuliakan tetamu menurut protokol seperti di atas.

Seelok-eloknya  daripada satu isi dengan isi berikutnya, diselitkan unsur sapaan seperti ‘hadirin yang saya muliakan, hadirin yang dihormati , tuan-tuan dan puan-puan , dan sebagainya.

Sebelum mengakhiri ceramah, penegasan isi perlu dibuat sebagai rangkuman supaya khalayak dapat memahami ceramah berkenaan melalui imbasan kembali.

Ceramah diakhiri dengan kata-kata sambutan seperti yang terungkap dalam pembuka bicara disusuli dengan ucapan terima kasih kepada hadirin atas keprihatinan mereka mendengar ceramah dengan tekun.

………………………………………………………………………..

Pendahuluan

Kata alu-aluan dan pengenalan tajuk ceramah yang akan disampaikan

Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memainkan peranan yang penting dalam pembangunan dan perkembangan ekonomi negara. IKS ditakrifkan sebagai perusahaan perkilangan atau syarikat yang menyediakan perkhidmatan berkaitan dengan perkilangan dengan pusing ganti tahunan tidak melebihi RM25 juta dan menggaji kakitangan sepenuh masa tidak melebihi 150 orang. Di Malaysia, terdapat pelbagai peluang usaha niaga berbentuk IKS yang mendapat sokongan penuh daripada kerajaan. IKS menyediakan sebanyak 44.2 peratus peluang pekerjaan daripada jumlah tenaga kerja dalam sektor perkilangan, 48.9 peratus dan 31.7 peratus masing-masing dalam jumlah nilai keluaran dan jumlah nilai harta tetap. Demi merancakkan IKS, kerajaan telah mengatur beberapa banyak langkah yang konstruktif dan pragmatik.

Salah satu langkah perdana yang diambil oleh kerajaan ialah penawaran pembiayaan, geran, pinjaman dan insentif kepada para pengusaha IKSBantuan ini dapat mendorong para pengusaha yang mengusahakan perniagaan IKS berasaskan pertanian, perikanan, perternakan, pemprosesan makanan, dan sebagainya. Antara geran dan insentif yang disediakan kepada pengusaha IKS termasuklah skim kewangan, skim geran penyelidikan dan pembangunan, dan sebagainya. Kemudahan pinjaman yang disediakan pula melalui institusi kewangan kerajaan, seperti Bank Pertanian dan Bank Simpanan Nasional, bank komersial seperti Bank Rakyat dan Bank CIMB, serta syarikat kewangan Melalui Skim Khas Bank Negara, Bank Negara telah menubuhkan Unit Khas Enterpris Kecil dan Sederhana yang bertujuan membantu perusahaan IKS yang berdaya maju untuk memperoleh pembiayaan. Dengan adanya bantuan dan sokongan kerajaan, IKS nescaya dapat berkembang maju.

Hadirin yang dihormati,

Dalam pada itu, khidmat nasihat dan perundingan kepakaran turut disediakan oleh pihak kerajaan. Usahawan dan pelabur yang ingin akan maklumat atau pendedahan lanjut mengenai IKS boleh mendapatkan khidmat nasihat yang disediakan oleh agensi kerajaan dan beberapa badan yang lain. Para pengusaha memang memerlukan khidmat nasihat dan sokongan teknikal dalam usaha melicinkan operasi IKS agar lebih produktif, dinamik, berdaya maju, dan kos efektif, di samping meningkatkan daya pengeluaran dan kualiti produk, serta pemasaran global. Antara agensi yang terlibat dalam khidmat nasihat dan bantuan teknikal termasuklah MARA (skim khidmat pakar perunding MARA), UKM Pakar Runding Sdn. Bhd., dan Persatuan IKS Malaysia. Tanpa khidmat nasihat dan perundingan kepakaran, pengusaha-pengusaha yang mentah dalam selok-belok pengurusan IKS ataupun baru menceburi bidang ini akan menghadapi pelbagai rintangan. Pendek kata, pihak kerajaan berprakarsa dan beriltizam membantu para usahawan untuk membangunkan IKS dan melipatgandakan perolehan.

Tidak ketinggalan juga, kerajaan menyediakan pelbagai program latihan dan pembangunan kepada usahawan dan pelabur yang cenderung mengusahakan aktiviti IKS. Dalam konteks ini, Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) merupakan agensi kerajaan utama yang bertanggungjawab menyelaraskan pembangunan IKS.Selain menawarkan khidmat nasihat berkaitan dengan pembangunan industri, agensi ini menyediakan program latihan dan pembangunan untuk orang ramai dan pengusaha IKS. Antaranya termasuklah program rantaian industri, program pembekal global, program peningkatan kemahiran, dan sebagainya. Bahkan, Majlis Amanah Rakyat (MARA) merupakan agensi kerajaan yang ditubuhkan untuk menggalakkan, membimbing dan melatih penduduk Bumiputera, khususnya di luar bandar, supaya menyertai kegiatan perdagangan dan perusahaan. Antara program yang ditawarkan ialah latihan keusahawanan, skim latihan perintisan, dan program promosi pemasaran. Melalui agensi-agensi kerajaan, IKS berdaya maju dan memberikan sumbangan kepada iktisad negara.

Hadirin yang dimuliakan,

Seseorang   pengusaha   mestilah   mempunyai   ciri-ciri   baik   yang   boleh   dicontohi sekali gus membantu dalam meningkatkan perniagaan. Hal Ini termasuklah tekun, bekerja keras, yakin dengan kebolehan, boleh menerima risiko, kreatif dan menyedari sepenuhnya tentang keperluan untuk mencapai sesuatu yang lebih baik dan cemerlang . Pemikiran baik dan bijak dalam membuat keputusan amatlah penting kerana hasilnya kelak akan memberikan impak sama ada kepada diri pengusaha itu sendiri atau perniagaan yang diusahakannya. Usahawan   yang   berjaya  mestilah  menjadi   seorang   yang  boleh  menjadi   contoh kepada usahawan atau pekerja lain. Dalam organisasinya, pengusaha mestilah sentiasa

bertindak secara rasional dan tidak terburu-buru. Fikiran yang positif dalam apa-apa perkara amat perlu. Hal ini kerana tindakan yang terburu-buru boleh membawa kepada kesan yang negatif.   Kesemua   ciri-ciri   positif  yang   ada   dalam diri  usahawan  atau  pengusaha   akan mendorong tindak balas yang juga positif dari pelbagai pihak khasnya kepada para pekerja. Kebajikan pekerja juga perlu dijaga dengan baik agar pekerja berasa selesa untuk bekerja dengan majikannya. Hal ini sekaligus akan dapat mengurangkan kadar peralihan kerja oleh pekerja seperti  yang  berlaku  pada  mana-mana pengusaha  yang   gagal  menyemai  sikap positif atau ciri-ciri yang baik dalam dirinya sebagai seorang pengusaha. Jelaslah menunjukkan bahawa pengusaha yang bijak mampu untuk meningkatkan perniagaan mereka terutama dalam bidang IKS.

Selain itu, sistem pengurusan yang baik turut menyumbang kepada kejayaan atau kegagalan perusahaan. Pengurusan yang baik   tersebut bermaksud cekap   dan berkualiti untuk memenuhi keperluan perusahaan. Persaingan antara Industri Kecil dan Sederhana dengan   firma-firma  yang   lain  adalah   sangat  kuat.  Hal   ini   kerana,   Industri   Kecil   dan Sederhana   menggunakan   modal   permulaan   yang   amat   kecil   dan   ini   memerlukan pengurusan yang cekap dan bijak dari pengusahanya untuk mengurus dan membelanjakan modal tersebut agar perusahaan dapat berjalan dengan baik. Pengurusan yang bijak akan dapat   mendatangkan   keuntungan   yang   berlipat   ganda   dan   mengelakkan   berlakunya kerugian dalam perusahaan. Pengurusan dari  segi mengawal pekerja juga amat penting. Pengusaha adalah sebaiknya mengasingkan tugas para pekerja mengikut tahap kemahiran atau mengikut jenis aktiviti. Sistem pengurusan yang baik dan sistematik akan membantu menggerakkan perusahaan dengan lancar seterusnya memacu IKS ke tahap yang tinggi.

Hadirin yang dikasihi,

Secara tuntasnya, semua pihak memainkan peranan yang mustahak dalam memajukan dan merancakkan IKS. Hal ini demikian kerana pertumbuhan pesat sektor perkilangan memperlihatkan kepentingan dan peranan IKS yang kian ketara. Penglibatan IKS dalam pelbagai jenis aktiviti perkilangan menjadi penggerak dan tulang belakang kepada pertumbuhan sektor perkilangan amnya. Kesedaran pelbagai pihak tentang keperluan dalam melahirkan usahawan yang berkemampuan dan bertaraf antarabangsa serta pekerja mahir adalah tinggi. Selaras dengan ini, pelbagai pihak telah mula menyedari bahawa salah satu langkah penting dalam mencapai hasrat ini adalah melalui bantuan dan sokongan kepada pembangunan IKS. Jadi, pihak-pihak yang terbabit dalam sektor ini haruslah meneroka dan merintis bidang-bidang IKS baru dengan menghadiri ekspo-ekspo perindustrian di luar negara.

Dengan wujudnya inisiatif dan iltizam, IKS bukan sahaja berdaya maju bahkan menyumbang kemajuan ekonomi negara sekali gus merealisasikan Wawasan 2020 . Sekian sahaja ceramah saya untuk kali ini. Terima kasih kerana fokus dan tekun mendengar sehingga ke akhirnya.Saya sudahi ceramah ini dengan Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

.

This entry was posted in Karangan. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s